Jose Mourinho menggantikan Mauricio Pochettino selaku pengurus Tottenham Hotspur pada waktu yang tepat, kata bekas pemain tengah kelab itu, Jamie O'Hara.

Bekas pengurus Manchester United itu dilantik sebagai pengurus baru Spurs semalam, 12 jam selepas Pochettino menamatkan tempoh lima setengah tahunnya bersama kelab itu.

Pengurus berbangsa Argentina berkenaan dipecat selepas pasukannya mencatatkan rekod buruk dengan menduduki tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris ketika ini, yang dianggap O'Hara sebagai satu petunjuk untuk memulakan perubahan.

"Saya fikir ia adalah waktu yang tepat," katanya kepada Omnisport.

"Kami sedang bergelut dengan prestasi yang tidak begitu baik.

"Saya fikir kami meraih 24 mata daripada 25 perlawanan.

"Kami tidak berada di kedudukan yang baik dalam liga.

"Prestasinya tidak begitu baik.

"Final Liga Juara-Juara Eropah telah membayangi musim lalu secara keseluruhan.

"Saya fikir mereka menyedari perkara itu dan berasakan sudah sampai masa untuk melupakannya.

"Skuad ini tidak mendapat reaksi seperti kebiasaannya dan ia adalah salah satu waktu yang anda fikirkan yang anda telah membawa kami sejauh yang anda mampu dan kami perlu melangkah lebih jauh," katanya.

Pochettino membimbing Spurs menduduki kelompok empat teratas bagi empat musim berturut-turut dalam Liga Perdana dan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu di mana mereka tewas kepada Liverpool.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu -- yang dikhabarkan akan menyertai Bayern Munich -- tidak memenangi sebarang trofi sepanjang eranya di kelab London Utara itu dan O'Hara berasakan penggantinya, Mourinho, akan melakukan perubahan.

"Poch akan menyertai tugasan yang besar. Dia tidak akan menganggur untuk tempoh yang lama," kata O'Hara yang menghabiskan lapan tahun di Tottenham sebelum meninggalkannya pada 2011.

"Dia akan menerima ganjaran lumayan.

"Dia mempunyai tempoh yang hebat di sini, nilainya amat tinggi dan dia akan menyertai kelab lain yang amat besar.

"Tiada siapa dalam dunia ini lebih baik daripada Jose Mourinho dalam memenangi trofi.

"Jika anda bercakap mengenai Mourinho menyertai Spurs lima tahun lalu, anda mungkin akan mentertawakan kami kerana kami tidak akan mampu menarik perhatian pengurus seperti itu.

"Untuk menarik perhatian pengurus yang telah memenangi segala-galanya seperti itu, ia merupakan sesuatu yang amat hebat.

"Untuk meyakinkannya menyertai kami, ia merupakan waktu paling tepat untuk dia mengambil alih pasukan.

"Kelab ini akan mula melangkah lagi, dia akan membawa caranya yang tersendiri dan anda akan melihat Spurs bersaing merebut trofi tidak lama lagi," tambahnya.