Legenda Chelsea, John Terry, mempersoalkan sama ada Jose Mourinho mempunyai seorang ketua dalam barisan pemain Manchester United atau tidak untuk dia berjaya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Dua kekalahan dalam empat perlawanan menyaksikan United kini berada di tangga ke-10 liga, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Mourinho untuk menambah jumlah tiga kejuaraan liga yang dimilikinya di England.

Terry mengetuai Chelsea dalam setiap tiga kejuaraan itu dan dia yakin pengendali berusia 55 tahun itu mampu mengulangi kejayaan tersebut.

Bagaimanapun, bekas pertahanan England itu percaya Mourinho harus mendapatkan seseorang seperti Frank Lampard dan Didier Drogba untuk merealisasikan hasrat itu.

"Dalam setiap kelab, dia mempunyai pemain dengan perwatakan besar dan saya tidak pasti dia memilikinya atau tidak bersama United ketika ini. Tentunya Mourinho mempunyai pemain seperti itu sewaktu di Chelsea," kata Terry.

"Anda harus bangkit dan menuju ke sesi latihan setiap hari dan menunjukkan kepadanya bahawa anda mahu memenangi semua kejuaraan. Jika anda mampu melakukannya, dia akan 100 peratus bersama anda.

"Saya rasa dia akan menghadirkan kejayaan buat United tetapi ia memerlukan kesabaran.

"Pilihan saya untuk mengungguli slot tiga terbaik pada musim ini adalah Manchester City, Liverpool dan Chelsea. United dan Tottenham Hotspur akan berebut untuk meraih tangga keempat."

United, yang kini ketinggalan enam mata berbanding tiga pasukan teratas, akan bertandang ke Watford yang masih belum tewas tatkala aksi domestik akan bersambung selepas rehat antarabangsa, minggu depan.