STOKE CITY 2 MANCHESTER UNITED 2

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji persembahan keseluruhan Romelu Lukaku ketika berdepan Stoke City walaupun penyerang itu gagal menyempurnakan peluang keemasan untuk meraih kemenangan ketika seri 2-2, semalam.


Ketika kedudukan terikat pada minit ke-81, Lukaku melegakan hati peminat pasukan tuan rumah selepas gagal menyempurnakan hantaran Antonio Valencia.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjaringkan gol buat pasukan pelawat sebelum Eric Maxim Choupo-Moting kembali menjadikan kedudukan terikat beberapa minit kemudian.

Jaringan Lukaku pada babak kedua perlawanan adalah gol keempatnya musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dan Mourinho menegaskan beliau berpuas hati dengan persembahan pemain kebangsaan Belgium itu.

"Saya sangat gembira dengan Lukaku sama ada dia menjaringkan gol ataupun tidak kerana usaha yang telah dipamerkannya," kata Mourinho.

"Dengan satu lagi gol, kami hampir memenangi perlawanan ini dengan keputusan 3-2 tetapi kesilapan yang dilakukan menyaksikan kami harus berpuas hati dengan keputusan seri."

Stoke terlebih dahulu membuka jaringan hasil tampanan Choupo-Moting pada babak pertama sebelum tandukan Paul Pogba terkena Marcus Rashford menjadikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Mourinho perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, David de Gea, yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan yang dilakukan Stoke.

"De Gea bermain dengan cemerlang dalam perlawanan ini. Dia telah berusaha memastikan United tidak dibolosi menerusi beberapa percubaan pasukan lawan. Tanpanya, kami mungkin sudah dihukum," katanya.