Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mengesahkan perbincangan mengenai pertukaran yang melibatkan Alexis Sanchez dan Henrikh Mkhitaryan sedang dijalankan tetapi
menegaskan tiada sebarang persetujuan dicapai.


Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, mendakwa kedua-dua pihak semakin hampir untuk mendapatkan persetujuan, dengan United dilaporkan akan akan membayar wang perpindahan berserta Mkhitaryan bagi mendapatkan tandatangan Sanchez.

Mourinho, bagaimanapun, menjelaskan kelab itu masih belum dapat melakukan sebarang pengumuman tetapi beliau akan terus menunggu dengan tenang sebarang perkembangan terbaru.

"Saya berpendapat semua pihak sudah mengetahui bahawa kami akan dapat melaksanakan perpindahan ini, tiada sebab untuk cuba menyembunyi ataupun menafikan perkara ini," kata Mourinho.

"Tetapi ia masih belum selesai. Buat masa ini, Mkhitaryan masih lagi pemain kami, Sanchez milik Arsenal dan buat masa ini, tumpuan saya beralih kepada perlawanan berdepan Burnley.

"Saya akan menunggu perkembangan berkaitan perpindahan ini dengan tenang. Jika ia berjaya dilakukan, saya akan memberitahu bahawa kelab telah menandatanganinya. Saya akan bercakap mengenai impak yang mampu diberikan olehnya. Buat masa ini, tidak. Sanchez masih lagi milik Arsenal," tambahnya.