Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mendakwa dia kini dalam proses mengembalikan semula "DNA" kelab itu sejak mengambil alih jawatan pengurus daripada Louis van Gaal.

United akan bertandang ke Goodison Park bagi menghadapi Everton pada Ahad.

The Red Devils setakat ini telah melakar keputusan seri empat kali berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, sekaligus membenarkan Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Arsenal untuk menghuni kelompok atasan liga.

United kini ketinggalan 14 mata di belakang pasukan pendahulu, Chelsea.

Bagaimanapun, Mourinho mempertahankan permulaan hambar kelab itu yang dikatakan masih terikut-ikut dengan corak permainan Van Gaal.

"Saya hanya mementingkan cara kami bermain dan cuba mendapatkan keputusan lebih baik," katanya.

"Saya di sini untuk membina masa depan baru buat United dengan mengembalikan DNA sebenar kelab ini. Itu adalah salah satu matlamat saya selain daripada beberapa faktor lain.

"Saya mahukan yang lebih daripada pengurusan, kelab, dan pemain. Saya juga mengharapkan lebih daripada diri saya sendiri.

"Ketika ini, barisan pertahanan kami agak tinggi, bek tengah kami tidak mengikuti pemain lawan, mereka lebih gemar menerapkan corak bertahan mengikut zon.

"Terdapat pelbagai corak permainan dalam bola sepak. Kami cuba mengikut gaya kami sendiri.

"Saya tidak pernah mengendalikan pasukan yang menguasai permainan dengan penguasaan bola. Saya tidak pernah mengendalikan pasukan yang mencipta banyak peluang seperti Untied.

"Jika kami dapat mengekalkan senario itu, termasuk menjaringkan gol, kami akan berada dalam situasi lebih baik."