Jose Mourinho berkata dia tidak tahu dan tidak peduli berapa lama Paul Pogba akan diketepikan kerana dia ingin memberi tumpuan penuh kepada perlawanan Manchester United menentang Huddersfield Town, semalam.

Pemain antarabangsa Perancis itu terpaksa dipinggirkan dalam pertembungan kelima Piala FA itu akibat masalah kesihatan dengan pemain muda, Ethan Hamilton, disenaraikan.

Ketiadaan Pogba berlaku 24 jam selepas Mourinho berkata pemain itu akan memulakan permainan kerana pengurus itu mahu bertindak atas 'pembohongan' mengenai pemain tengah itu yang kononnya tidak gembira dengan kehidupan di Old Trafford.

Mourinho mendedahkan dia dimaklumkan oleh kakitangan perubatan United pagi semalam bahawa Pogba tidak dapat diturunkan, namun menegaskan dia tidak akan berasa tergugat dengan ketiadaan pemain berusia 24 tahun berkenaan.

"Pagi ini (semalam), saya diberitahu oleh doktor," kata Mourinho kepada BT Sport ketika ditanya apakah dia mengetahui Pogba sakit.

Ditanya sama ada ia adalah masalah yang serius, dia menjawab: "Saya tidak tahu dan secara jujur, ​​saya tidak peduli. Saya hanya fokus kepada permainan sejak saya tahu Paul tidak boleh beraksi.

"Saya akan memikirkan soal Paul selepas perlawanan, bukan sekarang," katanya.

Pogba sebelum itu memuat naik mesej di Twitter untuk mengesahkan dia telah dinasihati agar berehat dengan berkata: "Saya berasa kesal tidak dapat berada di Huddersfield tetapi saya perlu bertambah sihat."

United, yang mahu memadam kekecewaaan daripada kekalahan Liga Perdana kepada Newcastle United minggu lalu, mengalahkan Huddersfield 2-0 di Old Trafford pada 3 Februari lalu selepas tewas mengejut 2-1 dalam pertemuan pada Oktober lalu.