Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menjangka dia terpaksa melupakan khidmat Henrikh Mkhitaryan dan Michael Carrick dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Southampton.

Kedua-dua pemain berkenaan ditimpa kecederaan dalam kemenangan 1-0 dalam Liga Europa ketika berdepan Saint-Etienne.

Gol tunggal perlawanan itu disumbangkan Mkhitaryan pada minit ke-16 untuk United mara secara agregat 4-0 dalam pertemuan pusingan 32 itu, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, bekas bintang Borussia Dortmund itu terpaksa meninggalkan padang 10 minit kemudian ekoran masalah hamstring manakala Carrick menyusul selepas sejam permainan berlangsung setelah merungut dengan masalah betis.

Mourinho memberitahu BT Sport, dia tidak kesal menamakan barisan terkuat di Stade Geoffroy-Guichard di sebalik kekecewaan itu.

Malah, dia tidak mengharapkan sepenuhnya Mkhitaryan dan Carrick untuk pulih dalam masa terdekat.

"Anda boleh ditimpa kecederaan ketika keluar dari rumah, anda boleh ditimpa kecederaan ketika berada di taman. Anda tidak akan tahu bila dan mengapa," katanya sambil menafikan dia mengambil risiko yang tidak sepatutnya.

"Dengan jadual padat yang diharungi, anda sentiasa perlu mengambil risiko. Jelas sekali, mereka adalah tonggak penting dan ketiadaan mereka untuk perlawanan akhir adalah rumit.

"Tapi saya berasakan Marouane Fellaini and Bastian Schweinsteiger yang jarang diturunkan, memberi jawapan yang baik semasa diturunkan dalam separuh masa pertama.

"Saya tidak katakan mereka sudah pun tersisih, saya hanya mengatakan apa yang saya rasakan. Kecederaan hamstring atau betis, malah kecederaan kecil sekalipun, saya berasakan tempoh tiga hari tidak memadai untuk pulih."