Jose Mourinho menjelaskan prestasi pemain pertahanan, Luke Shaw, "masih jauh ketinggalan" berbanding pesaingnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester United.

Shaw hanya diturunkan dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini pada musim pertama Mourinho mengendalikan The Red Devils.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang berhijrah ke Old Trafford pada Jun 2014, mengalami kecederaan patah kaki pada September 2015 dan bergelut untuk mencari tahap terbaiknya musim ini.

Bercakap kepada media selepas United seri 0-0 dengan West Brom kelmarin, Mourinho tidak berselindung dengan rasa kurang yakinnya terhadap persembahan pemain itu.

"Ia adalah sesuatu yang sukar buat dirinya berada di bangku simpanan kerana saya tidak boleh membandingkannya dengan Ashley Young, Matteo Darmian dan Daley Blind," katanya.

"Saya tidak boleh membandingkan cara dia berlatih, komitmennya, tumpuannya, dan cita-citanya. Dia masih jauh ketinggalan."