Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mencadangkan penyerang, Zlatan Ibrahimovic, berkemungkinan ditawarkan kontrak baru untuk terus kekal di Old Trafford.

Ibrahimovic meledak 17 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2016-17 tetapi kecederaan lutut serius yang dialaminya ketika aksi suku akhir Liga Europa (UEL) telah mengetepikannya daripada sebarang aksi sehingga penghujung musim.

United, yang menamatkan saingan liga di tempat keenam, namun layak beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Ajax 2-0 dalam aksi final UEL, dan Ibrahimovic telah memberikan petanda dia sudah bersedia untuk menyertai kelab baru.

Tetapi Mourinho sentiasa menerima pemain berusia 35 tahun itu untuk kembali menyarung jersi The Red Devils selepas dia pulih sepenuhnya.

"Ibrahimovic masih berpeluang untuk kekal bersama kami, segala keputusan terletak di tangannya," kata Mourinho.

"Perbincangan adalah bersama ejen Ibrahimovic, Mino Raiola, dan kelab, tetapi keputusan terakhir adalah terbaik buat pemain."