Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan bahawa beliau tidak memiliki sebarang masalah dengan Luke Shaw selepas mengetepikan bek kiri itu daripada skuad ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Watford.

Pemain berusia 21 tahun itu bergelut untuk mendapatkan aksi skuad utama di bawah kendalian Mourinho dan tidak beraksi sejak Oktober 2016.

Dia beraksi selama 90 minit ketika United melakar kemenangan 4-0 ke atas Wigan dalam aksi Piala FA bulan lalu.

Bagaimanapun, Mourinho menjelaskan bahawa beliau tidak memiliki masalah dengan pemain kebangsaan England itu.

"Dia perlu terus bekerja keras dan perlu menunggu masa untuk beraksi," ujar Mourinho.

"Pada Sabtu lalu, saya memerlukan seorang pertahanan yang boleh bermain dalam posisi yang berbeza.

"Jadi pilihan saya adalah Matteo Darmian kerana dia boleh bermain sebagai bek kiri, dan jika keadaan memaksa, dia boleh bermain sebagai pertahanan tengah.

"Apa yang boleh saya katakan adalah Shaw sedang menjalani latihan dengan baik."