Jose Mourinho percaya sifat rendah diri Scott McTominay dan kesediaannya untuk belajar mendorong perkembangan pemain tengah Manchester United itu.

Pemain berusia 21 tahun itu menikmati kempen cemerlang di Old Trafford musim ini dan mendapat panggilan pertama dalam skuad Scotland hari ini untuk aksi persahabatan menentang Costa Rica dan Hungary.

McTominay, yang dilahirkan di Lancaster dan turut layak bermain untuk England, memainkan peranan penting dalam perlawanan United menentang Sevilla, Chelsea dan Liverpool baru-baru ini.

Menjelang aksi timbal balik menentang kelab La Liga itu dalam Liga Juara-Juara, esok, Mourinho memuji pendekatan pemain muda itu dalam membentuk kerjayanya.

"Dia bermain dengan baik, dia menggunakan setiap minit di dalam dan di luar padang untuk belajar," kata bos United, yang pasukannya yang seri 0-0 di Sevilla dalam perlawanan pertama pusingan 16.

"Dia merendah diri, dia mahu belajar. Dia tidak mahu populariti. Dia hanya mahu bekerja, memperbaiki diri dan berkhidmat untuk pasukan.

"Dia semakin mendapat peluang bermain. Dia mendapat (peluang daripada) kecederaan Michael Carrick, (Marouane) Fellaini, (Paul) Pogba dan (Ander) Herrera -- pada dasarnya semua pemain tengah yang saya ada.

"Dia mendapat beberapa minit, mendapat pengalaman dan cara terbaik untuk memperbaiki permainan adalah berada di padang. Dia seorang pelajar yang baik."

Mourinho menambah: "Saya masih ingat permulaannya ketika dia tidak selalu berada di bangku simpanan tetapi saya membawanya bersama pasukan sebagai pemain tambahan.

"Saya masih ingat dengan jelas di dalam bilik persalinan, dalam mesyuarat, ketika makan, dia mendengar setiap perkataan.

"Saya fikir sifatnya yang merendah diri itu menjadikannya pemain yang baik untuk kami."