MANCHESTER UNITED 4 FULHAM 1

Jose Mourinho menekankan betapa peningkatan keamatan Manchester United, sama ada ketika menguasai bola atau tidak, terserlah selepas mereka membenam Fulham 4-1 di Old Trafford, tengah malam tadi.


Ashley Young membuka tirai jaringan pada minit ke-13 dan gol ke-50 Juan Mata dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum perlawanan berusia setengah jam meletakkan situasi kelab bawahan itu semakin sukar.

Penyerang yang kembali diturunkan, Romelu Lukaku, mengakhiri kemarau jaringannya yang berlanjutan hampir 1,000 minit di Old Trafford tetapi pemain gantian, Aboubakar Kamara, merapatkan jurang menerusi sepakan penalti sebelum Marcus Rashford menyumbat gol keempat United.

"Kami mempamerkan kesungguhan ketika tanpa bola dan menguasai bola," kata Mourinho.

"Ketika kehilangan bola, kami memberi mereka tekanan, menaikkan kedudukan pemain serta tidak memberikan mereka peluang untuk memperagakan aksi yang mereka hajati.

"Kemudian dengan menguasai bola, kami membuat satu, dua sentuhan. Saya fikir kami sangat baik.

"Sudah tentu kami memerlukan kemenangan. Tiga perlawanan terakhir dalam saingan EPL kami tidak kalah tetapi kami tidak menang," ujarnya.

Kemenangan pertama United itu di pentas EPL selepas 3 November lalu diselubungi dengan kelibat Paul Pogba yang sekadar menjadi pemerhati di bangku simpanan.

Namun, komen Mourinho mengenai perpaduan dan tahap kerja keras pemainnya menjurus kepada ketiadaan bintang Perancis itu.

"Saya berasakan pemain-pemain telah menunjukkan bahawa mereka boleh menjadi pasukan yang lebih baik (pada masa ini)," katanya.

"Apabila adanya perpaduan dan empati di dalam pasukan -- pemain-pemain akan mempunyai kerjasama yang erat dan semua pemain memberikan aksi yang maksimum, ia sesuatu yang menarik dan mencetuskan lebih banyak perkara positif.

"Apabila anda mempunyai pemain yang berlari dan memberikan tekanan, kemudian apabila bola di kaki, mereka ingin bermain bola sepak yang mudah dan positif, ia mencetuskan lebih banyak hal positif," tambahnya.

Kemuncak persembahan United adalah prestasi cemerlang di pertahanan kanan oleh pemain remaja, Diogo Dalot.

"Saya rasa dia beraksi hebat," tambah Mourinho. "Bagi pemain berusia 19 tahun, secara fizikalnya dia sangat kuat dan teknikalnya sangat baik.

"Dengan gaya serangan hantaran lintangnya, anda hanya perlu membuat sedikit sentuhan untuk menyumbat gol. Dalam aspek bertahan, dia perlu belajar lagi tetapi dia merupakan seorang budak lelaki berusia 19 tahun."