Mourinho puji jentera pertahanan United

By Jack Davies 7 November 2016
Mourinho puji jentera pertahanan United
Pengendali The Red Devils, Jose Mourinho, memuji barisan pertahanan 'bidan terjun' pasukannya selepas memenangi perlawanan 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris ke atas Swansea City pada Ahad.

United, yang menurunkan Phil Jones, Ashley Young, Matteo Darmian dan Marcos Rojo di bahagian pertahanan, hanya bolos satu gol selepas Paul Pogba menjaringkan gol sebelum Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol.

"Saya sangat berpuas hati," jelas Mourinho kepada MUTV. "Pada pendapat saya, United memiliki hari yang sangat tenang.

"Kami berjaya mengawal perlawanan sejak minit pertama, pemain-pemain telah memberikan tumpuan dengan baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini, terutama sekali dengan persembahan Ashley Young, yang beraksi di luar posisinya, manakala Phil Jones -- seorang pemain yang berani memberitahu 'Saya sudah bersedia' ketika dia masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya gembira menyaksikan Marcos bermain tiga perlawanan berturut-turut sebagai pertahanan tengah, Matteo Darmian yang bermain sebagai bek kiri, pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan saya."

Jaringan Ibrahimovic menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa sebarang gol dan menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu meledak gol ke-400 sepanjang kariernya.

"Dia adalah seorang pemain yang berkualiti, saya gembira dia kembali menjaringkan gol."
 

About Author

Jack Davies

Comment