BOURNEMOUTH 0 MANCHESTER UNITED 2

Jose Mourinho berkata Paul Pogba adalah "pilihan yang tepat" untuk Pemain Terbaik Perlawanan selepas memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-0 Manchester United ke atas Bournemouth dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi.


Pogba mengharungi musim yang tidak konsisten untuk United apabila sering menerima kritikan gara-gara mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar.

Mourinho juga memberi contoh beberapa kali dengan tidak menurunkannya pada awal perlawanan dan bahkan kerap meninggalkannya di bangku simpanan.

Pendekatan jurulatih itu menyaksikan Pogba dikaitkan dengan perpindahan tetapi Mourinho tampil memuji persembahannya ketika menentang Bournemouth selepas dia membuat bantuan gol Liga Perdana ke-10 musim ini untuk jaringan Romelu Lukaku dalam separuh masa kedua.

"Saya tidak begitu gemar dengan Pemain Terbaik Perlawanan (anugerah), terutama kerana saya seorang pengurus pasukan, bukan pengurus pemain," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Saya bukan peminat besar (anugerah), tetapi Paul Pogba bermain sangat baik. Menentang Man City, dia sangat hebat, tetapi hari ini dia sangat-sangat bagus, pilihan yang tepat (sebagai Pemain Terbaik Perlawanan)," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan United bangkit daripada kekalahan 1-0 di tempat sendiri menentang skuad tercorot, West Brom.

United seterusnya akan berkunjung ke Wembley untuk separuh akhir Piala FA menentang Tottenham dan Mourinho mengakui dia pening selepas melihat persembahan pasukannya di Stadium Vitality.

"Setiap pemain di padang positif dan meletakkan diri mereka dalam keadaan bersedia untuk Ahad ini," kata Mourinho.

"Pemain begitu bagus. Ia prestasi profesional yang baik dengan usaha dan tanggungjawab yang baik. Ada keinginan untuk menjaringkan gol dan keinginan untuk menangani tanggungjawab bertahan menentang pasukan yang pantas.

"Semua mereka adalah profesional dan bertanggungjawab. Cita-cita utama adalah untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan kini satu mata mungkin cukup. Apabila tugas itu selesai, kami boleh memikirkan tempat ketiga dan kedua," katanya.