Jose Mourinho berkata konfrontasi dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, di tepi padang berlaku atas faktor salah faham tatkala kedua-dua pengendali terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Old Trafford.

Mourinho dan Klopp bertembung ketika insiden kekasaran melibatkan Ander Herrera dan Roberto Firmino tercetus.

Kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning selepas Herrera mengasari Firmino yang menyebabkan kemarahan pemain antarabangsa Brazil itu yang bertindak menolak Herrera.

Mourinho mendakwa Klopp menyangka dia mahu pengadil melayangkan kad merah.

"Dia (Klopp) menyangka saya meminta pengadil melayangkan kad merah terhadap Firmino," ujar Mourinho ketika sesi sidang media.

"Bukan itu yang berlaku, jadi ia bukan satu isu.

"Pada saya, perlawanan itu berlangsung dengan baik kerana setiap pemain telah memberikan segalanya.

"Pengadil juga mengendalikan perlawanan dengan baik. Jadi, pada saya, perlawanan ini akan menjadi publisiti yang baik buat peminat Liga Perdana Inggeris di seluruh dunia."