Jose Mourinho berkata Manchester United berdepan kesukaran untuk menghambat kedudukan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan pendekatan bertahan yang diamalkan pasukan itu.

Pasukan kendalian Antonio Conte itu kini memimpin liga dengan kelebihan enam mata selepas 17 perlawanan, 13 mata di depan United selepas memenangi 11 perlawanan terakhir mereka.

Empat daripada enam perlawanan terakhir yang dimenangi The Blues adalah hasil daripada kemenangan tipis 1-0, sementara mereka telah merekodkan sembilan aksi tanpa bolos sejak tewas 3-0 kepada Arsenal di Stadium Emirates, September lepas.

Mourinho berpendapat kecenderungan Chelsea untuk mempertahankan kedudukan bermakna mereka tidak akan banyak keciciran mata sehingga Mei nanti.

"Anda perlu jujur dan mengatakan ia adalah sangat sukar," katanya kepada Sky Sports apabila diajukan soalan sama ada United masih mampu merebut kejuaraan.

"Ia bukan kerana perbezaan mata semata-mata, ia juga berkenaan dengan corak permainan Chelsea.

"Mereka menjaringkan satu gol dan mereka menang. Mereka banyak bertahan. Mereka bertahan dengan baik. Mereka sedang memenangi perlawanan dan pada 20 minit terakhir, mereka akan membawa masuk pemain pertahanan.

"Mereka tidak peduli dengan apa yang diperkatakan orang, apa yang orang lain fikirkan. Mereka hanya mahukan kemenangan. Dan oleh kerana itu, saya tidak nampak mereka akan kehilangan banyak mata."

Pasukan bimbingan Mourinho melalui fasa buruk sebelum meraih empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dengan kekalahan 2-1 kepada Fenerbahce dalam kempen Liga Europa adalah keputusan negatif terakhir sejak mereka dimalukan Chelsea 4-0 pada Oktober.

United mempamerkan pendekatan menyerang sejak ketibaan Mourinho dan dengan empat trofi kekal dalam pemburuan, Mourinho yakin tahun 2017 bakal menjadi positif buat peminat di Old Trafford.