Jose Mourinho percaya Alexis Sanchez akan menemui semula sentuhan terbaiknya di Manchester United selepas menolak cadangannya bahawa dia telah memaksa pemain antarabangsa Chile berkenaan supaya mengetepikan aksi persahabatan membabitkan negara itu.

Sanchez tidak tersenarai untuk kunjungan Chile yang akan menghadapi Jepun dan Korea Selatan pada 6 dan 10 September ini.

Jurulatih Chile, Reinaldo Rueda, mendakwa Sanchez -- yang dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kekalahan 0-3 kepada Tottenham setelah terlepas aksi dalam kekalahan 2-3 di Brighton & Hove Albion -- dipinggirkan atas permintaan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Dalam persediaan aksi wajib menang ke atas Burnley malam ini, pengurus United, Mourinho, memberitahu pemberita: "Saya tidak meminta Alexis dan saya tidak pernah meminta pemain supaya tidak menyahut panggilan pasukan antarabangsa.

"Saya juga tidak pernah menghubungi pasukan kebangsaan agar pemain tidak disenaraikan, ia adalah perkara peribadi di antara dia dan pengurus pasukan kebangsaan.

"Pada masa yang sama, Alexis baru pulih daripada kecederaan dan berasakan dia memerlukan rehat selama dua minggu.

"Dia bersedia menghadapi Burnley tetapi dia berasakan bahawa selepas itu, dia memerlukan rehat selama dua minggu demi mengembalikan tahap terbaik.

"Oleh kerana mereka akan beraksi dalam perlawanan persahabatan di Asia, mereka membuat keputusan demi kebaikan sendiri dan akibatnya adalah kebaikan untuk kami."

Sanchez berhijrah daripada Arsenal ke United dalam perjanjian pada Januari lalu, namun pemain berusia 29 tahun itu bergelut untuk mencipta impak di Old Trafford.

Sejak berpindah ke Manchester, Sanchez hanya menjaringkan tiga gol sungguhpun dia menikmati pra-musim yang menggalakkan dengan meledak dua gol.

Mourinho, yang menyaksikan United mengalami dua kekalahan berturut-turut, berkata: "Dia mengharungi pra-musim yang baik, dia membuat permulaan yang baik musim ini.

"Kemudian, dia mengalami kecederaan kecil yang menyebabkan dia tersisih dan dia kembali hanya sehari sebelum bertemu Tottenham dan dia dimasukkan ketika kami ketinggalan 0-2.

"Dia komited, fokus dan bekerja keras. Saya percaya dia akan bertambah baik."