Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan khabar angin bahawa Paul Pogba akan diketepikan selama 12 minggu sebagai mengarut.

Pogba mengalami kecederaan hamstring ketika melakar kemenangan 4-0 ke atas FC Basel dalam saingan Liga Juara-Juara, terlepas aksi berdepan Everton di Old Trafford, malam tadi.

United masih belum mengumumkan berapa lama Pogba akan diketepikan tetapi Mourinho bingkas mengetepikan desas-desus pemain itu tidak akan beraksi sehingga tiga bulan.

"Saya tidak tahu sama ada 12 minggu atau 12 hari. Setiap komen atau khabar angin ketika ini adalah tidak benar.

"Kami telah pun menyedari akan kecederaanya sebelum perlawanan bermula berikutan keadaan otot kakinya.

"Keputusan itu hanya akan diketahui selepas satu minggu. Tiada sesiapa dalam kelab ini yang menyebut sama ada 12 hari atau 12 minggu. Maklumat itu tidak masuk akal."

United tampil ampuh meskipun ketiadaan Pogba apabila mengetepikan cabaran Everton dengan empat gol tanpa balas.

"Jika kami mendahului tiga gol dalam tempoh 30-35 minit pertama, ia akan mencerminkan aksi mantap pasukan ini setakat ini," katanya.

"Kami mendominasi aksi berdepan pasukan yang menurunkan lima pemain pertahanan. Persembahan pemain cukup memukau."