Jose Mourinho memegaskan dia tidak pernah memaksa Wayne Rooney agar keluar dari Manchester United tatkala ketua pasukan itu masih merawat kecederaan yang dialaminya.

Rooney terpaksa berehat untuk pertemuan dengan Saint-Etienne dalam aksi Liga Europa akibat kecederaan, dengan penglibatannya musim ini agak terhad sejak Mourinho tiba di Old Trafford, Mei lalu.

Rooney yang dikaitkan dengan kelab China, hanya membuat lapan kemunculan di peringkat Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, dengan pengurus United itu menjelaskan keputusan untuk berhijrah terletak di tangan Rooney.

"Anda perlu tanya dia (sama ada Rooney akan kekal)," katanya.

"Seandainya Rooney mahu meninggalkan kelab ini, ia bukan disebabkan saya, saya tidak akan mendesak pemain legenda supaya pergi. Anda perlu menyoalnya sendiri."

Rooney terpinggir dalam dua perlawanan terakhir akibat kecederaan ringan dan biarpun Mourinho sedar dengan perkembangan semasanya -- Rooney mula turun menjalani latihan semalam -- dia mengalihkan fokusnya kepada pemain yang mampu membantu pasukannya.

"Rooney masih tercedera, saya tidak boleh membuat keajaiban di peringkat ini," kata bos United itu.

"Jelas sekali kemampuan bahagian perubatan kami sudah pun dipertingkatkan, ia dibuktikan menerusi data yang diperolehi.

"Tetapi Rooney tercedera, dia akan diketepikan dalam tempoh dua atau tiga minggu.

"Apabila seorang pemain tidak boleh diturunkan, anda memiliki pemain lain.

"Ketika ini, pasukan ini dalam keadaan baik. Dalam beberapa bulan lalu, kami hanya tewas sekali dan kami boleh tersingkir kerana perlawanan ini (Liga Europa) membabitkan aksi timbal balik."

United merakamkan kemenangan 3-0 dalam pertemuan pertama dengan wakil Perancis itu yang menyaksikan Zlatan Ibrahimovic meraikan hatrik sulungnya bersama United sebelum Red Devils mengalihkan perhatian mereka kepada perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) berdepan Southampton, hujung minggu ini.