Mourinho mahu pemain keluar dari zon selesa

By Staff Writer 4 February 2017
Mourinho mahu pemain keluar dari zon selesa

Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mempersoalkan mentaliti sesetengah pemainnya dengan menggesa mereka keluar dari zon selesa.

Meskipun sedang menempuh 14 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris, tiga keputusan seri menyaksikan United kini menghuni tangga keenam liga, empat mata di belakang slot kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

Mourinho kini mendakwa terdapat beberapa pemain yang bergelut memenuhi permintaannya.

"Saya tidak mengenali mereka semua dengan baik. Saya tidak tahu ada sesetengah pemain yang perlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana sepatutnya mereka sudah biasa dengan keadaan ini," kata Mourinho.

"Bermain untuk menang, memikul tanggungjawab untuk menang dan cuba menangani tekanan utnuk mencapai kemenangan. Tiga perkara ini sepatutnya sudah menjadi asam garam pemain. Tetapi bagi sesetengah pemain, mereka masih bergelut dengan aspek ini."

United akan bertandang ke Leicester City esok, dengan Mourinho menegaskan dia sentiasa dahagakan kejayaan, sekaligus secara tidak langsung mengharapkan pemainnya turut menanamkan keazaman yang sama.

"Mentaliti saya tidak pernah berubah dalam bola sepak, saya mahu menang. Saya tidak pernah berasa puas hati," tambahnya.

"Saya tidak pernah berpuas hati dengan keputusan yang baik, saya mahukan keputusan yang lebih baik lagi."

About Author

Staff Writer

Comment