Mourinho mahu lebih lagi dari Pogba

By Alex Fisher 25 September 2016 114
Mourinho mahu lebih lagi dari Pogba

Paul Pogba mungkin kembali menemui rentak permainannya sejak tiba di Manchester United ketika membenam Leicester, namun pengendali pasukan, Jose Mourinho, mengharapkan lebih lagi daripada pemain itu.

Pemain termahal dunia itu meledak gol sulungnya di Old Trafford ketika United mempamerkan aksi cemerlang.

Tandukannya pada minit ke-42 tiba selepas Chris Smalling, Juan Mata dan Marcus Rashford telah menewaskan penjaga gol The Foxes, Ron-Robert Zieler.

Bergandingan dengan Ander Herrera, Pogba akhirnya mempamerkan aksi memberangsangkan, namun Mourinho mengharapkan sesuatu yang lebih lagi daripada pemain kebangsaan Perancis itu.

"Saya tidak pasti sama ada ia adalah permainan terbaiknya sejak tiba dari Juventus. Saya berpendapat dia telah bermain dengan baik ketika bertemu Southampton dan Hull City," jelas Mourinho.

"Jika pasukan gagal menyerlah, Pogba juga gagal menyerlah, tetapi jika pasukan beraksi dengan baik, Pogba akan turut menyinar.

"Kami mahukan lebih lagi daripada Pogba dan pasukan. Kami akan cuba terus konsisten untuk perlawanan akan datang.

"Pogba perlu mengekalkan tahap permainannya tetapi gandingannya bersama Herrera sangat baik," tambahnya.

Kapten pasukan, Wayne Rooney, merupakan antara empat pertukaran pemain yang dilakukan oleh Mourinho untuk perlawanan ini.

Tiada tempat buat Henrikh Mkhitaryan untuk menyertai skuad walaupun pemain Armenia itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mereka tidak mengalami kecederaan, cuma tidak berada di tahap yang terbaik.

"Anda perlu berada di tahap yang terbaik kerana saya lebih cenderung untuk memilih pemain yang cergas secara fizikal dan mental."

About Author

Alex Fisher

Comment