Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan bekas kelabnya, Chelsea, masih merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sekalipun mereka tewas dalam aksi pembukaan kepada Burnley, minggu lalu.

Antonio Conte kehilangan Gary Cahill dan Cesc Fabregas yang dibuang padang dalam aksi di Stamford Bridge manakala pengurus dari Itali itu dilaporkan tidak gembira dengan aktiviti perpindahan.

Mourinho dilihat cuba menambah tekanan ke atas bekas majikannya itu dengan meletakkan mereka sebagai pencabar kejuaraan menjelang kunjungan The Blues ke Tottenham Hotspur, esok.

"Bagi saya, pilihan kejuaraan sentiasa kepada juara bertahan," kata Mourinho menjelang kunjungan ke Swansea City.

"Ia tidak bermaksud anda akan memenanginya. Adalah menjadi kebiasaan, apabila anda adalah juara bertahan, maka musim depan anda adalah pilihan."

United, yang melengkapkan pembelian Nemanja Matic dari Chelsea, dilaporkan mengecewakan Conte, namun Mourinho menegaskan seterunya itu tidak boleh merungut dengan proses perpindahan pemain sebelum ia ditutup pada 31 Ogos ini.

"Kalau mereka mempunyai masalah, mereka perlu menyelesaikannya dalam tempoh beberapa minggu ini sebelum ia ditutup dan selepas itu, mereka tidak akan mempunyai masalah lagi," tambahnya.

"Mereka mempunyai sebuah pasukan yang mantap, pemain handalan dan saya tidak nampak mengapa mereka tidak boleh mencabar kejuaraan.

"Contohnya, Chelsea hilang tonggak tengah penting seperti Matic, tetapi kalau anda membeli Tiemoue Bakayoko and Danny Drinkwater, apa masalahnya? Masalah akan timbul apabila anda jual tetapi tidak membeli.

"Kalau anda terus membeli, mungkin anda akan bertambah kuat, jadi saya fikir setiap pasukan utama EPL sudah cukup kuat, mempunyai sokongan kewangan yang kukuh untuk mencabar apa-apa kejuaraan.

"Terdapat lima pasukan akan beraksi dalam Liga Juara-Juara dan dua dalam Liga Europa. Maka, ketujuh-tujuh pasukan akan bersaing untuk kesemua kejuaraan dan kesemuanya mantap."