Jose Mourinho enggan memberi komen mengenai sama ada skuad Manchester United berkemampuan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dia memburukkan Chelsea dan Liverpool.

Pengurus Red Devils itu berdepan kekecewaan dalam siri jelajah di Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan seri yang tidak meyakinkan ketika berdepan America dan San Jose Earthquakes.

Kekecewaannya diburukkan lagi ekoran ketiadaan bintang-bintang Piala Dunia 2018, termasuk Romelu Lukaku dan Paul Pogba selain kurang berbelanja, berbeza jika dibandingkan dengan perbelanjaan mewah seterunya di Anfield.

Ditanya sama ada dia mempunyai sumber untuk memenangi gelaran, Mourinho membalas: "Saya tidak akan menjawab pertanyaan anda."

Mourinho terus menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pilihan yang ada dalam skuadnya ketika ini dengan Fred, Lee Grant dan Diogo Dalot merupakan tiga pemain yang diikat United setakat ini.

"Tidak," katanya ketika ditanya sama ada dia berpuas hati dengan kumpulan pemain yang bersamanya di California.

"Saya mendapat kemudahan seperti biasa. Saya memperoleh komitmen luar biasa daripada pihak yang terlibat dalam proses menyediakan pra-musim yang baik.

"Saya gembira dengan perlawanan dan evolusi perlawanan-perlawanan ini tetapi saya tidak mempunyai pemain untuk membentuk pasukan.

"Sebilangan besar pemain hanya akan melaporkan diri pada 9 Ogos sebaik pasaran pemain ditutup untuk memuktamadkan senarai rasmi skuad ini pada musim ini.

"Jika anda melihat kepada barisan pemain Chelsea dan Liverpool dalam pra-musim ini, khususnya termasuk Arsenal, saya fikir jika anda membuat perbandingan, anda melihat perbezaan situasi.

"Manchester City dan Tottenham berada dalam keadaan yang sama seperti kami, namun kita dapat lihat bahawa beberapa kelab lain berada dalam situasi yang berbeza."

Bekas pengurus Real Madrid itu juga berdepan kebimbangan terhadap masalah terbaru di bahagian pertahanan.

Marcos Rojo mengalami kecederaan dalam Piala Dunia dan Mourinho tidak pasti bilakah pemain Argentina itu akan menyertai semula sesi latihan bersama rakan sepasukan.

"Saya tidak tahu, dia kini bersama dengan jabatan perubatan sejak Piala Dunia kerana berdepan beberapa masalah fizikal," kata Mourinho mengenai Rojo.

"Jabatan perubatan perlu memutuskan sama ada dia boleh menyertai kami di sini atau pulang ke Manchester untuk menjalani sesi pemulihan dan menanti pasukan (di sana)."