BURNLEY 0 MANCHESTER UNITED 1

Jose Mourinho berasakan Manchester United sepatutnya 'membunuh' Burnley pada babak kedua dalam kemenangan 1-0 mereka tetapi gembira dengan persembahan yang ditunjukkan pasukannya di Turf Moor, awal pagi tadi.


Rembatan pemain tengah, Anthony Martial, sudah cukup untuk United meraih tiga mata dalam pertemuan yang dilimpahi banyak peluang keemasan.

David de Gea tidak banyak beraksi di gawang United tetapi Burnley meletakkan pertahanan pelawat di bawah tekanan pada babak kedua, dengan sepakan percuma Johann Berg Gudmundsson menyentuh palang dan Ashley Barnes hampir menanduk masuk.

Mourinho gembira dengan cara pasukannya mengatasi lawan yang banyak bertahan tetapi percaya perlawanan itu mungkin boleh ditamatkan lebih awal jika Paul Pogba dan Jesse Lingard melakukan lebih baik ketika menyerang.

"Ia satu prestasi berbeza daripada apa yang kami cuba lakukan tetapi ia adalah aksi yang diperlukan untuk mendapatkan keputusan menentang pasukan berani seperti Burnley," kata bos United itu dalam sidang media.

"Kami tahu cara mereka bermain, mereka lebih baik berbanding sesiapa yang bermain bertahan seperti itu, dan kami perlu menyesuaikan diri dengannya untuk berjaya. Kami dapat menyesuaikan diri dengan baik.

"Kami harus menjaringkan gol kedua, membunuhnya tetapi kami tidak melakukannya, dan kami meletakkan diri dalam situasi di mana kami terpaksa bertarung sehingga separuh masa kedua.

"Imej terbaiknya ialah (penjaga gol Burnley, Nick) Pope di dalam kotak penalti untuk dua hantaran lintang terakhir. Itulah gambaran betapa kompetitifnya perlawanan ini."