Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji Luke Shaw kerana meneruskan permainan dalam kesakitan ketika merakamkan kemenangan ke atas Anderlecht.

Shaw, yang sering dikritik musim ini, bermain selama 120 minit ketika membantu United mara ke separuh akhir Liga Europa menerusi kemenangan 2-1 dalam masa tambahan di Old Trafford, awal pagi tadi.

Marcus Rashford menjadi wira United dengan gol pada minit ke-107, namun kemenangan itu menyebabkan Red Devils kehilangan Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo akibat kecederaan.

Mourinho turut memuji Rashford -- yang kini meledak 10 gol dalam semua kejohanan musim ini -- selain Shaw.

"Saya sentiasa percaya dengan pemain yang memiliki mentaliti istimewa. Saya sentiasa mempercayai mereka. Luke Shaw melakukan sesuatu yang baru hari ini, ia amat bermakna bagi saya," katanya dalam sidang akhbar.

"Selepas 90 minit, sebelum saya tahu bahawa saya perlu menukar Zlatan, Shaw dilanda kekejangan di mana Ashley Young sudah bersedia untuk dimasukkan dan dia memaklumkan mahu meneruskan permainan walaupun berasa kejang, tidak ada masalah.

"Dia berpesan, jika saya perlu membuat perubahan ke atas posisi lain, dia bersedia untuk itu.

"Inilah perkara yang membuatkan saya mempercayai pemain. Selain aspek-aspek teknikal, faktor mentaliti juga merupakan sebab mengapa saya mahu Marcus terus berada dalam pasukan sepanjang masa."

Rashford kemarau jaringan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak September lalu sebelum menjaringkan gol secara berturut-turut, bulan ini.

Gol kemenangannya itu menghantar United ke separuh akhir dan Mourinho menggesa anak buahnya untuk mengekalkan momentum dan memenangi Liga Europa.

"Ia perlawanan yang sukar, lawan yang sukar, saya letih, saya membayangkan pemain lebih letih daripada saya," katanya lagi.

"Kami akan diundi hari ini (Liga Europa) dan kami masih mempunyai impian untuk memenangi pertandingan ini."

Celta Vigo, Ajax dan Lyon menyertai United dalam undian separuh akhir hari ini.