MAN UNITED 4 FEYENOORD 0

Jose Mourinho menganggap rekod jaringan Wayne Rooney di pentas Eropah bersama Manchester United adalah menakjubkan sambil menghamburkan pujian yang jarang diberikannya terhadap Henrikh Mkhitaryan.



United mengatasi Feyenoord 4-0 dalam aksi Liga Europa di Old Trafford awal pagi tadi di mana ketua pasukan, Rooney, meledak satu gol serta mencipta bantuan gol untuk Juan Mata.

Jaringannya pada babak pertama menyaksikan Rooney merekodkan golnya yang ke-39, sekali gus mengatasi pencapaian Ruud van Nistelrooy.

Mourinho kagum dengan persembahan Rooney serta memuji barisan pemainnya kerana terus memburu untuk menambah bilangan gol pada babak kedua permainan untuk memastikan mereka hanya memerlukan keputusan seri dengan Zorya Luhansk untuk mereka melepasi peringkat Kumpulan A.

"Sudah tentu ia pencapaian yang menakjubkan," kata Mourinho mengenai Rooney sejurus tamat perlawanan.

"Persembahannya adalah persembahan berpasukan. Kami membuktikan hala tuju kami biarpun sedang mendahului 1-0.

"Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol lagi dan meletakkan kedudukan kami mendahului mereka di dalam situasi seperti jarak mata antara kami tidak jauh berbeza.

"Adalah lebih bagus jika dia membantu kelab untuk memenangi satu trofi yang belum pernah mereka menangi, iaitu Liga Europa.

"Saya tahu ia bukan kejohanan terbesar tapi ayuh kita mencubanya. Kami mahu layak, saya sedar kami akan melalui pusingan kalah mati yang banyak, namun ayuh mencubanya."

Mkhitaryan turut mendapat ulasan positif daripada Mourinho yang menurunkannya dalam kesebelasan utama buat kali kedua sejak perpindahannya dari Borussia Dortmund pada Julai lalu.

Mourinho berkata: "Saya sangat gembira. Kami menangani beban tekanan dengan baik -- ia adalah persembahan yang mantap.

"Beberapa pemain mendapat peluang seperti Sergio Romero yang menyelamatkan pintu gol sebanyak dua kali ketika perlawanan masih 0-0 dan Mkhitaryan mempamerkan persembahan individu yang baik.

"Saya berasakan Mkhitaryan hanya perlu mengulangi persembahan seperti ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

"EPL adalah peringkat tertinggi dan dia perlu mengulangi persembahannya dengan melibatkan lebih banyak faktor fizikal dan tekanan yang lebih besar.

"Kami sedar kualiti yang dimilikinya -- sebab itulah kami membawanya ke dalam skuad. Dia memiliki kualiti hebat."