Persembahan Phil Jones kebelakangan ini mengejutkan pengurus Manchester United, Jose Mourinho, selepas berehat panjang kerana kecederaan.

Pertahanan berusia 24 tahun itu terlepas majoriti saingan musim lalu dan aksi pembukaan musim 2016-17 akibat kecederaan lutut.

Semakin selesa beraksi dalam kesebelasan utama, Jones mempamerkan gandingan mantap bersama Marcos Rojo dan Mourinho amat berpuas hati dengan persembahan mereka.

"Saya agak terkejut menyaksikan prestasi Jones untuk beberapa minggu ini. Pada pendapat saya, selepas berehat panjang, anda memerlukan masa untuk mendapatkan tahap terbaik," kata Mourinho.

"Dia sudah kelihatan cergas, kuat, dan pantas. Dia telah beraksi dalam enam perlawanan dan saya tidak ingat kali terakhir dia mampu bertahan selama ini.

"Marcos juga mengalami masalah serta kecederaan tetapi dia seakan-akan sudah bebas daripadanya.

"Ketiadaan [Eric] Bailly dan [Chris] Smalling telah mendatangkan keraguan beberapa pihak, Jones dan Rojo mengisi kekosongan itu dan kami mula mengorak langkah dengan mengelak daripada tewas dalam beberapa perlawanan. Saya sangat gembira dengan prestasi mereka."