Mourinho: Jentera serangan United tumpul

By Staff Writer 2 April 2017
Mourinho: Jentera serangan United tumpul
MANCHESTER UNITED 0 WEST BROM 0

Jose Mourinho menjelaskan kegagalan penyerang Manchester United mempamerkan aksi konsisten merupakan punca mereka seri 0-0 dengan West Brom, semalam.


Ketiadaan kelibat Zlatan Ibrahimovic dan Juan Mata menyaksikan United merekodkan 18 percubaan tetapi hanya tiga menemui sasaran berdepan pasukan pelawat yang bertahan sepanjang perlawanan di Old Trafford.

Dua percubaan Marcus Rashford digagalkan oleh Ben Foster ,yang mempamerkan aksi cemerlang di pintu gol berdepan bekas pasukannya.

United kini telah merekodkan lapan keputusan seri dalam 15 perlawanan di Old Trafford musim ini, dengan Mourinho menegaskan aksi kurang konsisten daripada jentera serangan The Red Devils adalah punca mereka kehilangan dua mata berharga.

"Untuk terus memenangi perlawanan, anda memerlukan pemain-pemain yang konsisten," kata Mourinho.

"Sepanjang 90 minit, Antonio Valencia, Ashley Young, Marcos Rojo, Eric Bailly, Marouane Fellaini, Michael Carrick mempamerkan aksi yang konsisten.

"Selebihnya, mereka hanya mempamerkan bakat sepintas lalu, satu aksi yang menarik, hampir menjaringkan satu gol. Kami perlu menewaskan pasukan lawan.

"Kami banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol, kami telah memberikan tekanan ke atas pertahanan lawan tetapi terdapat beberapa pemain yang gagal memberikan fokus ketika menyerang.

"Ia adalah keputusan yang mengecewakan kerana kami seri, satu rekod yang menarik. Kami tidak tewas dalam 19 perlawanan liga adalah satu prestasi yang menakjubkan.

"Tetapi kami telah seri di laman sendiri terlalu kerap, kami sepatutnya menang di sini."

United akan menerima kunjungan Everton pada Selasa sebelum bertandang ke Stadium of Light berdepan Sunderland minggu hadapan dan Mourinho mengakui jadual padat menghukum pemain-pemainnya.

"Terdapat beberapa pemain yang bakal direhatkan dalam perlawanan akan datang, saya mahu cuba memastikan pemain-pemain mengelak daripada kecederaan."

About Author

Staff Writer

Comment