Son Heung-min mengalami kecederaan lengan yang berkemungkinan besar memaksanya berehat sehingga akhir musim sekali gus menyebabkan Jose Mourinho mengakui situasi akan menjadi lebih buruk buat barisan depan Tottenham Hotspur.

Spurs mengesahkan Heung-min mengalami kecederaan lengan ketika menewaskan Aston Villa 3-2, Ahad lalu, dan berkata bintang Korea Selatan itu -- yang meledakkan dua gol dalam aksi tersebut -- terpaksa diketepikan selama beberapa minggu.

Mourinho kemudian melanjutkan tempoh masa, menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu tidak lagi boleh beraksi musim ini.

"Saya tidak melihat dia akan beraksi lagi musim ini," katanya menjelang aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang RB Leipzig, awal pagi esok.

"Jika dia bermain satu atau dua perlawanan, ia kerana pegawai media Spurs sangat yakin dan saya harap dia benar.

"Namun, saya fikir ia tidak boleh. Saya tidak memikirkan tentangnya."



Ketiadaan Heung-min jelas menggugat barisan depan Spurs menjelang aksi getir menentang Leipzig dan Chelsea, salah satu seteru utama untuk merebut kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.

Harry Kane menjalani pembedahan akibat kecederaan paha ketika tahun baru dan bergelut untuk kembali sebelum musim ini tamat.

"Situasi ini menjadi lebih teruk daripada segi pilihan," tambah pengurus dari Portugal itu.

"Ia satu situasi yang jelas. Tiada apa boleh anda lakukan.

"Kami akan beraksi dengan pemain yang ada. mereka akan berikan segalanya, sama seperti apa yang dilakukan.

"Dalam sesetengah waktu, saya risau tiada pilihan serangan di bangku simpanan, kini saya terhad untuk barisan depan yang akan diturunkan."