Jose Mourinho berkata dia dan Zlatan Ibrahimovic adalah dua lelaki dewasa yang tidak akan menghabiskan masa merungut tentang insiden yang berlaku selepas menyaksikan Manchester United diikat seri 1-1 dengan Bournemouth, semalam.

Dalam aksi yang dipalit kontroversi di Old Trafford, Andrew Surman dibuang padang ekoran menolak Ibrahimovic di hujung babak pertama.

Penyerang berusia 35 tahun itu -- yang kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti -- bersama-sama Tyrone Mings terselamat daripada layangan kad merah selepas Ibrahimovic dilihat menyiku pemain pertahanan itu sebagai tindak balas terhadap insiden -- Mings memijak kepala Ibrahimovic -- yang berlaku sebelum itu.

Kapten United, Wayne Rooney, menggesa tindakan di ambil terhadap Mings, namun Mourinho berkata dia dan Ibrahimovic tidak akan mengeluh.

"Zlatan pemain dewasa seperti saya. Kami sudah menempuh banyak tahun dalam bola sepak," Mourinho berkata dalam sidang media.

"Kami bukanlah generasi yang akan merungut kepada media tentang apa yang berlaku.

"Apa yang berlaku sudah berlaku. Itu sahaja.

"Apa yang penting adalah keputusan perlawanan dan perkara lain tidak membawa kesan kepada kami. Hakikatnya, kami kerugian banyak mata beraksi di laman sendiri."