Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mendedahkan dia telah melihat satu perkembangan yang baik pada emosi serta lenggok badan permainan pemain sayap, Anthony Martial, dan gembira dengan prestasi yang dipamerkannya sejak awal musim ini.

Ketika Martial tiba di United pada 2015, dia pantas memberikan impak kepada pasukan menerusi kepantasan serta statistik 11 jaringan yang dihasilkan, termasuk gol ketika penampilan sulung menentang Liverpool.

Bagaimanapun, dia bergelut dengan prestasi pada musim lalu, dengan hanya menjaringkan lapan gol dalam kesemua pertandingan dan ia dikatakan berpunca daripada konflik rumahtangga yang melanda dirinya.

Kebangkitan yang ditampilkannya pada musim ini, menghasilkan empat gol dan dua bantuan jaringan walaupun hanya membarisi kesebelasan utama sebanyak dua kali, mengundang rasa hormat Mourinho terhadapnya.

"Saya dapat lihat peningkatan pada dirinya secara peribadi serta emosi, mimik muka dan lenggok badannya," kata Mourinho dalam sidang media menjelang aksi liga bertemu Southampton.

"Apa yang saya saksikan? Kegembiraan. Dia sangat gembira dan bekerja keras.

"Saya teruja dengan tahap disiplin yang ditunjukkan dan ia membawa kepada prestasinya di atas padang.

"Dia beraksi dengan baik apabila diturunkan, masuk sebagai pemain gantian, memberikan impak besar kepada perlawanan walaupun 10 minit terakhir seperti ketika bertemu Everton. Dia cuba menikmatinya dan memberikan sesuatu kepada pasukan," katanya lagi.