HULL 2 MANCHESTER UNITED 1
(United mara dengan agregat 3-2)

Jose Mourinho tidak percaya Manchester United patut dilabelkan sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ketika menentang Southampton di Wembley nanti.

United mengesahkan tempat dalam final di sebalik kekalahan 2-1 kepada Hull City dan secara tidak langsung mengakhiri rentetan 17 perlawanan tanpa kalah Red Devils, susulan percubaan Tom Huddlestone dan Oumar Niasse menemui sasaran dalam setiap babak perlawanan.

Paul Pogba menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk gol penyamaan perlawanan.

Mourinho, yang memenangi kejuaraan itu sebanyak tiga kali, percaya aksi perlawanan akhir pada 26 Februari nanti akan menguji United.

"Saya tidak fikir kami adalah pilihan ke atas mana-mana pasukan," kata Mourinho kepada pemberita.

"Tidak kira siapa yang ditentang, kami tidak pernah menjadi pasukan pilihan. Kebiasaannya, Stadium Wembley berangin dan sukar.

"Saya gembira. Saya berasakan rekod 17 perlawanan tanpa kalah adalah menakjubkan.

"Kami tidak kalah. Ia keputusan 1-1. Saya hanya menyaksikan dua gol, iaitu daripada Paul Pogba dan gol mereka, ia gol yang hebat. Ia tindakan yang menarik dengan hantaran lintang yang mengagumkan."

United sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua dan keputusan pengadil, Jon Moss -- yang menghadiahkan sepakan penalti untuk gol pendahuluan Hull -- mengecewakan Mourinho.

"Kami menguasai perlawanan. Ia mengikut perancangan kami.

"Kami memerlukan sesuatu untuk membuka perlawanan dan ia menjadi," kata Mourinho.

"Pengurus Hull, Marco Silva, melakukan kerja yang hebat dan mereka merupakan sebuah pasukan mantap dalam kedua-dua perlawanan.

"Kami mempunyai kekuatan yang lebih baik, kami sebuah pasukan terbaik dan patut menjaringkan lebih banyak gol dalam pertemuan pertama.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain dan tidak mahu membuat analisis terlalu mendalam untuk perlawanan ini."