Mourinho enggan sekat Rooney ke China

By Staff Writer 23 January 2017 109
Mourinho enggan sekat Rooney ke China

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata dia tidak akan menjadi penghalang sekiranya Wayne Rooney mahu berhijrah ke Liga Super China.

Rooney melakar nama dalam sejarah apabila menjadi penjaring terbanyak Manchester United sepanjang zaman dengan meledak gol ke-250, memadam rekod yang dipegang legenda kelab, Sir Bobby Charlton, dengan 249 gol.

Bagaimanapun, masa depan Rooney di Old Trafford masih penuh dengan persoalan gara-gara terdapat tawaran lumayan dari tanah besar China.

Mourinho menegaskan dia tidak akan menjadi penghalang sekiranya Rooney mahu mengikut jejak Oscar dan Carlos Tevez ke negara itu.

"Saya tidak gemar untuk mengkritik pemain yang ingin berhijrah ke China," ujar Mourinho. "Ia melibatkan hidup mereka.

"Tawaran gaji sememangya cukup tinggi tetapi pengalaman yang bakal diraih di sana juga cukup menarik.

"Saya tahu ada dalam kalangan rakan sejawatan saya yang akan masuk campur dalam urusan sebegini tetapi bukan saya.

"Setiap manusia bertanggungjawab terhadap hidup masing-masing, jadi saya tidak akan mengkritik sesiapa.

"Secara jujur, dalam kes Wayne (Rooney) saya tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana dia belum memberitahu saya apa-apa."

Mourinho menambah: "Masa depan adalah milik Rooney. Bagaimana dia mahu menghabiskan penghujung kariernya, itu adalah hak dia.

"Pada saya, dia masih mampu memberi sumbangan besar kepada United."

Tahun lalu, Beijing Guoan telah menghubungi United dengan tawaran lumayan bagi memancing Rooney ke Asia.

 

About Author

Staff Writer

Comment