Perang mulut di antara Jose Mourinho dan Antonio Conte kini dilihat semakin berakhir tetapi pengurus dari Portugal itu menyifatkan wujud "kebencian" dalam dirinya terhadap ketua jurulatih Chelsea itu.

Ketegangan di antara dua pengendali itu bermula apabila Mourinho melabelkan seterunya itu sebagai badut tanpa menyebutkan namanya secara terbuka akibat tingkah laku pengendali dari Itali itu di atas padang sehingga membuatkan Conte berpendapat musuhnya itu bercakap tentang dirinya sendiri.

Mourinho kemudian membalas dengan mengaitkan isu penggantungan empat bulan yang dihadapi Conte pada 2011 ketika bersama Siena, sambil menegaskan bahawa dirinya tidak akan digantung akibat kesalahan mengatur perlawanan sebelum Conte melabelkan pengurus United itu sebagai 'kebudak-budakan".

Ketika ditemui dalam sidang media untuk berdepan Stoke City malam esok, Mourinho tenang menjelaskan perkara tersebut.

"Saya rasa apabila ada orang cuba menghina anda, mungkin anda akan membalas atau akan wujud kebencian.

"Apabila kali pertama dia menghina saya, saya telah membalas dengan perkara yang amat memedihkan dan apabila dia melakukannya kali kedua, saya telah berubah dan kebencian telah wujud.

"Bagi saya, jika wujud satu kebencian bermakna tamat sebuah kisah," kata Mourinho.