Jose Mourinho menuntut pemain-pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan 4-0 kepada Chelsea serta mencabar mereka untuk membuktikan 'kedewasaan' mereka.

Mourinho terpaksa mengharungi 90 minit yang mengecewakan di Stamford Bridge apabila bekas pasukannya meraih kemenangan besar ke atas United.

Chelsea hanya memerlukan 30 saat untuk meledak gol pembukaan menerusi Pedro Rodriguez sebelum Gary Cahill, Eden Hazard dan N'Golo Kante memastikan kekalahan ketiga musim ini buat pasukan pelawat, meletakkan skuad bimbingan Mourinho di tangga ketujuh liga.

United bakal bertemu Manchester City dalam saingan pusingan keempat Piala EFL pada Rabu.

Mourinho berkata tiada ruang buat pemainnya untuk bersembunyi dalam perlawanan akan datang.

"Kami terpaksa mengharungi waktu yang sukar. Kami kehilangan mata minggu ini dan kami hanya seri 1-1 dengan Stoke. Kami tidak boleh kehilangan mata lagi.

"Saya tidak berkata perlawanan seterusnya adalah mudah tetapi kami bakal bertemu Burnley, Swansea, West Ham, Sunderland dan Middlesbrough -- ini merupakan perlawanan yang perlu kami menangi.

"Pasukan-pasukan lain akan turut kehilangan mata, jadi ini merupakan masa untuk bertindak balas dan tiada tempat buat pemain untuk bersembunyi.

"Kami benar-benar sedih, tetapi beraksi dalam liga ini bukan untuk kanak-kanak dan saya mahu pemain-pemain United membuktikan bahawa mereka adalah lelaki dewasa."