Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memberi bayangan bahawa dia boleh menawarkan satu kontrak yang hebat kepada Michael Carrick bagi memastikan dia akan kekal bersama United untuk musim akan datang.

Carrick membuat penampilan kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL, pada musim ini ketika United mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Arsenal, Sabtu lalu, dan Mourinho kagum dengan prestasi pemain tengah veteran itu.

Dengan kontrak sedia ada Carrick akan tamat pada akhir musim ini, Mourinho menyatakan dia mungkin akan terus mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan England itu.

"Carrick sudah berusia 35 tahun," kata Mourinho. "Ia adalah perkara biasa jika dia mengalami kekejangan otot pada penghujung perlawanan.

"Ia amat menyedihkan apabila kami mengetahui bagaimana masa berlalu terlalu pantas untuk kami semua.

"Dia merupakan pemain yang hebat dan ia menyedihkan, saya sentisa menyukainya, tetapi saya hanya mengenalinya ketika dia berusia 35 tahun.

"Kami mempunyai persefahaman yang baik. Kami tahu bila dia boleh beraksi. Kami tahu bila dia bersedia dan bila dia memerlukan rehat.

"Carrick masih lagi bersama dengan pasukan dan mungkin untuk satu musim lagi. Itulah kehidupan."

Mourinho juga melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Paul Pogba selepas berpindah ke EPL dengan bayaran perpindahan rekod dunia dari pasukan juara Serie A, Juventus.

"Dia berjaya untuk menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam persaingan sengit dan dia lebih yakin," kata Mourinho.

"Jelas sekali dia bermain mengikut garis panduan posisinya, tetapi dalam masa yang sama, dia mampu mencari ruang untuk membantu pasukan ketika menyerang.

"Dia selesa di atas padang. Itu adalah cara yang terbaik untuk menjelaskannya."