Jose Mourinho didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England susulan tindakan yang mengakibatkannya dibuang padang ketika Manchester United seri 1-1 dengan West Ham, Ahad lalu.

Mourinho diarah meninggalkan kawasan teknikal buat kali kedua dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kerana menyepak botol air semasa separuh masa pertama.

Insiden itu berlaku selepas Paul Pogba dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Jon Moss, kerana sengaja menjatuhkan diri.

Berikutan itu, Rui Faria selaku pembantunya tampil menggalas tanggungjawab dalam sidang media selepas perlawanan.

"Pengadil telah menjelaskannya kepada Jose dan tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Saya berpendapat Jose kecewa kerana Pogba dikenakan kad kuning. Bagi kami ia adalah kekasaran, tapi pengadil berasakan sebaliknya.

"Saya tidak mengambil alih, ia adalah prosedur normal. Jose adalah bos dan beliau berpesan apa yang terbaik untuk pasukan, kami sekadar melaksanakannya tanpa kehadirannya."

Sebelum ini, pengurus Portugis itu digantung satu perlawanan dan didenda GBP8,000 di atas tindakannya ketika berdepan Burnley pada hujung bulan lalu, dan pihak FA bakal menilai kelakuan keduanya itu dalam jangka masa terdekat untuk mengenakan hukuman yang lebih berat.

Mourinho juga sempat didenda GBP50,000 (RM276,000) ekoran ulasan yang dibuatnya terhadap Anthony Taylor yang mengadili perlawanan di antara United dan Liverpool musim ini.

Pogba akan terlepas perlawanan suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan West Ham akibat layangan kad itu.