Bos Manchester United, Jose Mourinho, mengkritik penjadualan aksi persahabatan antarabangsa pada pertengahan musim selepas kehilangan pemain pertahanan England, Chris Smalling dan Phil Jones, akibat kecederaan.

Smalling mengalami kecederaan kaki ketika England menentang Jerman manakala Jones mengalami kecederaan ibu jari kaki ketika berlatih yang membuat dia terpaksa berjuang untuk meneruskan aksi dalam musim United.

Mourinho sudah kehilangan Paul Pogba yang cedera ketika menentang West Brom dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu, serta penggantungan ke atas Ander Herrera dan Zlatan Ibrahimovic.

Dan kehilangan duo pertahanan dalam perlawanan antarabangsa menambah lagi kekecewaan Mourinho walaupun mengakui suatu hari nanti dia mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai isu itu apabila terlibat dalam pengurusan skuad antarabangsa.

"Saya betul-betul menentang perlawanan persahabatan," katanya kepada Sky Sports.

"Saya rasa perlawanan persahabatan untuk pasukan kebangsaan hanya masuk akal sebelum fasa akhir.

"Beberapa minggu sebelum Euro atau beberapa minggu sebelum Piala Dunia lebih sesuai. Tetapi perlawanan persahabatan pada pertengahan musim dicampur dengan perlawanan kelayakan, saya tidak fikir ia masuk akal.

"Selain itu, perlawanan itu bukan benar-benar perlawanan besar, jadi saya bukan peminat besar. Tetapi saya fikir satu hari nanti saya akan berada di sana, jadi saya tidak boleh menjadi sangat kritikal.

"Saya tidak tahu bagaimana tetapi kedua-dua pemain pertahanan tengah mengalami kecederaan dalam kem Inggeris walaupun sebelum perlawanan.

"Perlawanan itu pada Ahad menentang Lithuania dan mereka cedera dalam sesi latihan."

Mourinho berasakan United -- yang mempunyai 13 pemain antarabangsa -- berada dalam kekurangan berbanding skuad Tony Pulis.

"Saya menyaksikan perlawanan Antonio Valencia di Ecuador, Marcos Rojo di Bolivia, tetapi mereka tidak tiba sehingga petang Khamis.

"Jika anda bandingkan keadaan kami dengan lawan kami -- West Bromwich Albion mempunyai seorang antarabangsa. Mereka mempunyai masa untuk berlatih, masa untuk berehat dan bersedia. Ia akan menjadi sukar."

United -- mempunyai rekod tanpa kalah dalam 18 perlawanan liga -- berada di tangga kelima liga, empat mata di belakang Liverpool, dan mempunyai dua perlawanan dalam tangan.