Bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke, menyifatkan pengurus, Jose Mourinho, mampu membawa pemain-pemain berkualiti menyertai pasukan.

Yorke percaya United memiliki perbelanjaan yang cukup serta kembalinya mereka dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik.

Tanpa saingan UCL, United berjaya mendapatkan khidmat bintang seperti Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic, dan Yorke tidak sabar menantikan siapa yang bakal dipinang oleh Mourinho untuk berhijrah ke Old Trafford.

"United sememangnya mencari pemain-pemain bagi memperkukuhkan lagi pasukan," kata Yorke.

"Saya berpendapat United adalah kelab terkaya di dunia dan beraksi dalam UCL akan menarik minat ramai pemain berkualiti.

"Memenangi dua kejuaraan utama pada musim 2016-17 membantu kami untuk beraksi dalam saingan UCL.

"Mourinho berjaya mendapatkan Pogba, Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan dalam saingan UCL.

Pertahanan kelahiran Sweden, Victor Lindelof, merupakan pemain pertama yang dibawa masuk oleh Mourinho, dan Yorke optimis tiga atau empat lagi pemain baru akan menyertai The Red Devils.

Dia turut menegaskan kualiti yang dimiliki pasukan meletakkan United sebagai pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013.

"Saya pasti Mourinho sudah menyasarkan beberapa pemain yang mahu dibawa masuk ke dalam pasukannya.

"United akan mendapatkan tiga atau empat pemain yang berkualiti bagi membantu pasukan dalam usaha untuk menjuarai EPL pada musim 2017-18."

Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, Alvaro Morata dan James Rodriguez, pemain sayap Inter Milan, Ivan Perisic, Eric Dier (Tottenham), Fabinho (Monaco) dan pemain
tengah Chelsea, Nemanja Matic, merupakan antara sasaran Mourinho.