Jose Mourinho yakin Zlatan Ibrahimovic masih di Manchester United musim depan tetapi dalam masa yang sama percaya ia akan menjadi tahun terakhir dalam kariernya untuk beraksi di pentas tertinggi.

Ibrahimovic menyertai United dengan kontrak 12 bulan dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan pilihan untuk menyambung setahun lagi, seperti yang termaktub dalam perjanjiannya.

Mourinho sudah pun mencanangkan untuk melanjutkan tempoh bekas kapten Sweden itu di Old Trafford sekalipun dalam masa yang sama berkata musim depan adalah detik penyerang berusia 35 tahun itu menuju pengakhiran kerjayanya.

Menjelang pertemuan dengan Watford, Mourinho berkata dalam sidang akhbar, "Saya tidak perlukan dia untuk menurunkan tandatangannya dalam kontrak. Saya sangat yakin dia akan kekal. Dia hadir dengan niat untuk kekal selama dua tahun.

"Tahun pertama mungkin tidak seperti yang diidamkannya kerana dia cukup bercita-cita tinggi, namun dalam minda semua orang, ia bermakna menentang segala jangkaan.

"Dia tahu musim depan kami akan cuba memperbaiki prestasi dan cuba berkongsi dengannya dengan cara yang menakjubkan kerana tahun depan mungkin tahun terakhirnya bermain di peringkat tertinggi.

"Jadi, saya cuba untuk meyakinkannya untuk kekal."

Ibrahimovic tetap menyerlah bersama United apabila meledak 20 gol selepas beraksi dalam 33 perlawanan musim ini.

Tambah Mourinho: "Dia juga sudah menyesuaikan diri dan situasi kelab ini. Saya tidak nampak keluarganya menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri.

"Saya memberinya cuti lebih sehari atau kembali ke Sweden tapi dia sentiasa menolaknya.

"Semuanya stabil. Oleh itu, saya sangat yakin dia akan kekal."