Pertahanan Liverpool, Alberto Moreno, memuji langkah pasukannya dalam pasaran perpindahan dan menjangkakan Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri akan menghiburkan semua peminat di Anfield.

Pengendali The Kop, Jurgen Klopp, mengeluarkan kenyataan untuk memperkuatkan pasukannya, dengan membawa masuk pemain tengah berusia 23 tahun dari RB Leipzig, Keita, serta Fabinho, 24, dari Monaco walaupun sebelum itu sering dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.

Shaqiri turut membuat keputusan untuk ke Anfield setelah meninggalkan Stoke City dan Moreno yakin kehadiran mereka akan memberikan impak kepada pasukan.

"Berbekalkan Keita dan Fabinho, serta kini Shaqiri, kami telah membawa masuk pemain-pemain hebat.

"Semua orang tahu bahawa Fabinho merupakan pemain tengah yang bagus dan daripada apa yang saya lihat ketika Keita berlatih, dia sangat hebat! Seperti yang kami katakan di Sepanyol, dia adalah pahlawan sebenar.

"Saya masih belum menyaksikan Shaqiri tetapi semua orang mengenalinya melalui statistik yang dicatatkan serta rekod dalam Liga Perdana Inggeris.

"Saya rasa mereka adalah tiga pemain yang akan menghiburkan semua peminat Liverpool dan menambah kekuatan kami dalam kempen kali ini."

Klopp sekali lagi mempamerkan belang dalam jendela perpindahan apabila membawa masuk Alisson Becker dari AS Roma menerusi yuran perpindahan berjumlah GBP66.8 juta (RM356 juta), sekali gus mencipta rekod perpindahan dunia yang baru buat penjaga gol.