Alberto Moreno gembira dengan keputusan Philippe Coutinho untuk kekal bersama Liverpool dan percaya ia akan melonjakkan semangat setiap pemain di Anfield.

Coutinho terlibat dengan perbualan hangat dan menjadi sasaran utama Barcelona, namun The Reds enggan menjual pemain kebangsaan Brazil itu dan dia sudah kembali menjalani latihan bersama skuad kendalian Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, permulaan baik Liverpool musim ini terbantut apabila tewas 5-0 kepada Manchester City di samping kehilangan khidmat Sadio Mane selepas digantung tiga perlawanan kerana dilayangkan kad merah.

Di sebalik kekalahan tersebut, Moreno menyifatkan Coutinho akan menjadi sumber inspirasi serta semangat Liverpool untuk bangkit mengharungi musim ini.

"Ia adalah satu berita baik," katanya.

"Memastikan pemain seperti Coutinho kekal memanfaatkan setiap pemain dalam pasukan. Dia adalah salah seorang pemain yang terbaik."