Alvaro Morata tidak akan menggunakan jersi nombor 9 di Chelsea sebagai penghormatan kepada anak kembarnya yang baru lahir.

Morata merupakan rekod pembelian The Blues pada musim lalu untuk menyarung nombor keramat yang diidamkan oleh penyerang di Stamford Bridge itu.

Dia memulakan musim dengan prestasi yang baik, namun hanya menyumbat satu gol Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas melewati tahun baru sehingga gagal mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia 2018 bersama Sepanyol.

Kebelakangan ini, kisah di luar padang menjadi keutamaan pemain berusia 25 tahun berkenaan selepas isterinya, Alice, melahirkan anak kembar mereka, Alessandro dan Leonardo, Ahad lalu, iaitu pada tanggal 29 Julai.

"Ia adalah hari yang tidak akan saya lupakan untuk menyambut anak kembar saya ke dunia ini," kata Morata kepada laman sesawang rasmi Chelsea.

"Keluarga sangat penting buat saya dan saya ingin memberikan mereka dan isteri saya, Alice, penghormatan ketika saya berada di atas padang.

"Itulah sebabnya saya memutuskan untuk menyarung nombor yang berbeza pada musim baru sempena mengingati hari istimewa ini dengan menambah nombor 2 di jersi saya.

"Saya meminta maaf kepada peminat yang mungkin telah membeli jersi nombor 9 yang tertera dengan nama saya tetapi saya harap anda memahami penghormatan yang saya mahu berikan dan ia tidak akan menjadi masalah kerana kami akan menggantikannya dengan yang baru, 29.

"Terima kasih di atas sokongan anda dan saya harap pada tahun ini akan banyak lagi (gol mahupun pencapaian) untuk diraikan."

Selaras dengan hasrat Morata itu, Chelsea menawarkan pertukaran percuma kepada mana-mana peminat yang telah membeli jersi baru musim ini yang tertera "Morata 9".

Chelsea bakal menghadapi Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti di Wembley esok sebelum berdepan Huddersfield Town dalam aksi pembukaan EPL minggu depan.