Alvaro Morata hampir meninggalkan Chelsea selepas setahun menyertai kelab itu daripada Real Madrid kerana kecewa dengan permulaan musim pertamanya di samping terlepas saingan Piala Dunia.

Penyerang itu berhijrah ke Stamford Bridge, Julai lalu, dengan yuran perpindahan EURO60 juta (RM287 juta), menjaringkan enam gol dalam enam aksi pertama musim lalu yang memberikan sinar baru kepadanya untuk memulakan kehidupan di England.

Bagaimanapun, kecederaan belakang telah menghimpit seluruh musim lalu buat Morata, menjaringkan hanya lima gol pada penghujung September hingga Mei tahun ini, sekali gus memaksa Julen Lopetegui untuk tidak membawanya ke Russia 2018.

Tamparan itu telah membuat Morata berhasrat untuk kembali ke Sepanyol atau Itali, dengan Juventus menjadi sasaran sementara kembali ke Real Madrid tiada dalam perancangannya.

"Sukar untuk menerima musim panas saya tidak beraksi dalam Piala Dunia. Ia adalah saat yang sukar," katanya.

"Saya akan cuba melakukan segala-galanya untuk tampil beraksi dalam edisi seterusnya.

"Saya tidak berdendam dengan Lopetegui. Ia adalah pilihannya dan saya mengharungi musim yang sukar.

"Saya juga telah bercadang untuk kembali ke Sepanyol atau Itali. Tetapi anda tidak boleh terlepas daripada realiti. Saya tinggalan Sepanyol bagi mendapatkan lebih masa beraksi dalam Piala Dunia," ujarnya.

Morata percaya kehadiran Maurizio Sarri di Chelsea serta menjadi seorang bapa, membantunya mengatasi kesukaran yang dihadapi di England.

"Musim lalu merupakan saat yang sukar buat saya.

"Kini saya bergelar bapa dan memiliki jurulatih baru. Saya telah kembali bersama skuad kebangsaan. Banyak perkara penting mengubah hidup saya."

Morata kembali ke dalam skuad La Roja untuk beraksi dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA berdepan England dan Croatia selepas tampil beraksi membantu Chelsea meraih empat kemenangan dalam empat perlawanan musim ini.