Penyerang Chelsea, Alvaro Morata, berkata taktikal Antonio Conte merupakan sebahagian punca dia "merana" dalam musim pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Morata mempamerkan permulaan yang cemerlang di Stamford Bridge, menjaringkan enam gol dalam enam aksi liga bagi musim 2017-18, tetapi segala-galanya berubah buat pemain kebangsaan Sepanyol itu.

Masalah sakit belakang yang misteri menghimpitnya sepanjang karier dan sekadar menjaringkan lima gol hingga tamat musim lalu.

Morata telah menampilkan petanda untuk bangkit sejak Maurizio Sarri menggantikan Conte sebagai ketua jurulatih.

Selepas menjaringkan gol pertamanya bagi musim ini ketika meraih kemenangan 3-2 ke atas Arsenal, Morata berkata dia lebih sesuai dengan gaya permainan baru itu.

"Saya lebih selesa beraksi di bawah perancangan Sarri berbanding Conte," ujarnya.

Morata turut menyatakan cara permainannya musim lalu yang diterapkan oleh Conte serta pengambilan ubat penahan sakit yang diterima daripada doktor di Jerman telah memberikan kesan sampingan kepadanya.

Penyerang itu, yang menyertai Chelsea daripada Real Madrid dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP60 juta (RM321 juta), mengakui mampu melakukan persembahan yang lebih cemerlang jika kecederaan tidak membelenggunya.

"Chelsea telah berusaha untuk mendapatkan saya tetapi saya gagal memberikan yang terbaik untuk mereka. Saya seharusnya memberikan lebih lagi. Seeorang penyerang tidak boleh menamatkan musim kurang daripada 15 gol."