Pengarah Sukan Roma, Monchi, menegaskan pasukannya tidak menerima sebarang tawaran untuk penjaga gol bintang, Alisson, di sebalik laporan mengatakan Liverpool berminat dengan pemain itu.

Pemain antarabangsa Brazil, Alisson -- yang bersiap sedia untuk Piala Dunia di Russia -- dikaitkan dengan Liverpool sekali lagi selepas Loris Karius melakukan kesilapan ketika tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Menandatangani penjaga gol baru dilihat sebagai salah satu keutamaan utama buat Jurgen Klopp untuk Liverpool pada luar musim ini dan Alisson dipercayai berada dalam senarai.

Bagaimanapun, Monchi berkata masih tiada tawaran untuk pemain berusia 25 tahun itu.

"Untuk membolehkan pemain meninggalkan pasukan, perlu ada tiga elemen: tawaran, ya dari kelab dan pemain," kata Monchi.

"Sehingga hari ini, kami tidak mempunyai apa-apa."

Alisson menikmati musim cemerlang dengan membantu Roma berada di tempat kedua dalam Serie A dan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.