Henrikh Mkhitaryan menegaskan, dia akan berjuang untuk masa depannya di Manchester United, walaupun kekurangan masa bermain di bawah Jose Mourinho.

Bintang Armenia itu yang berpindah ke United dari Borussia Dortmund pada Julai dengan bayaran perpindahan yang dilaporkan berjumlah £26.3 juta (RM138.95 juta), tidak diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak mereka mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Manchester City pada bulan September.

Mkhitaryan dibawa masuk pada separuh masa kedua ketika United mencatatkan kekalahan 2-1 dalam aksi Liga Europa menentang Fenerbahce, tetapi telah diketepikan ketika pertemuan dengan Swansea City pada aksi EPL Ahad lalu, dengan pengurus, Jose Mourinho, mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa banyak lagi yang perlu dia lakukan untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.

Spekulasi berterusan dengan pemain berusia 27 tahun itu dibenarkan untuk meninggalkan Old Trafford seawal Januari tahun hadapan tetapi Mkhitaryan menegaskan bahawa dia tidak mahu berpindah.

"Memang benar saya kekurangan waktu beraksi. Tetapi saya tidak akan mengalah," katanya seperti dipetik oleh Sport Bild selepas pelantikannya sebagai duta UNICEF.

"Saya bekerja keras dalam kerjaya saya, dan ia merupakan satu perjalanan yang panjang untuk bermain bersama Manchester United. Saya akan terus berusaha untuk memastikan impian saya menjadi kenyataan di United.

"Saya tidak akan berputus asa dan saya akan mencari kekuatan untuk mencapai matlamat tersebut."