Henrikh Mkhitaryan optimis pendekatan Unai Emery akan berhasil untuk Arsenal walaupun permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka berkesudahan dengan dua kekalahan.

Jurulatih baru, Emery, berdepan dua tugas besar dalam aksi pembukaan berdepan juara EPL, Manchester City dan Chelsea.

Arsenal tewas 2-0 kepada City dan Chelsea 3-2, menyaksikan The Gunners kini tanpa sebarang mata dalam dua perlawanan.

Bagaimanapun, pendekatan Emery masih lagi diberikan kepercayaan oleh Mkhitaryan yang percaya bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) itu memerlukan masa untuk menyesuaikan falsafah permainannya dengan pemain-pemain lain.

"Emery cuba menerapkan apa yang dilakukan oleh Arsene Wenger tetapi mencari ruang untuk memperbaikinya. Beliau menyedari sesuatu yang baru mampu diketengahkannya seperti keseimbangan dalam serangan dan bertahan.

"Kami akan terus berusaha dan menyesuaikan diri dengan gaya permainan baru ini.

"Ia bukan sesuatu yang mudah buat mana-mana pemain untuk mengubah rentak permainan. Emery mahu kami bermain bola sepak dan mendominasi permainan.

"Ketika berdepan Chelsea, kami telah mengikut taktikal yang ditetapkan oleh Emery dan berjaya mencipta jaringan.

"Kami meletakkan keyakinan kepada beliau dan akan terus berusaha," tambahnya.