Jose Mourinho berkata pemain yang dibawa masuk ketika hujung musim lalu, Henrikh Mkhitaryan, semakin hampir untuk membuat penampilan bersama Manchester United selepas dia tidak beraksi dalam perlawanan Liga Europa, semalam.

Di sebalik kenyataan yang menyatakan dia berada di dalam perancangan Mourinho, namun Mkhitaryan tidak membuat penampilan ketika United menewaskan Fenerbahce 4-1 di Old Trafford.

Mkhitaryan tidak diturunkan sejak perlawanan 'derby' Liga Perdana Inggersi (EPL), ketika United tewas kepada Manchester City, 10 September lalu, kerana kecederaan paha.

Tetapi Mourinho menegaskan kapten Armenia itu semakin hampir untuk membuat penampilan semula selepas menyertai sesi latihan semalam.

"Keadaannya begini, kami menggunakan khidmat [Jesse] Lingard, bersama [Juan] Mata dan [Anthony] Martial," kata Mourinho kepada wartawan ketika dia mendedahkan sebab di sebalik ketiadaan Mkhitaryan.

"Saya bukan Einstein, saya tidak tahu menggunakan sistem taktikal dengan membariskan empat pemain sayap pada masa yang sama. Dia perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan intensiti dan tahap kecergasan sebenar untuk bermain pada tahap yang tinggi.

"Untuk memberikan dia peluang beraksi dalam 15 hingga 20 minit, seperti yang saya lakukan kepada Memphis [Depay], saya berasa lebih baik jika dia meneruskan latihan dengan lebih keras lagi seperti yang dia telah lakukan semalam.

"Saya berasa lebih baik untuk dia terus menjalani latihan, daripada terus menunggu peluang untuk diturunkan. Bagaimanapun, dia telah bersedia untuk kembali beraksi. Dia akan beraksi tidak lama lagi."

United bakal bertandang ke Stamford Bridge untuk berdepan Chelsea dalam aksi EPL pada Ahad.