MANCHESTER UNITED 1 TOTTENHAM 0

Jose Mourinho berkata Henrikh Mkhitaryan bakal terlepas dua perlawanan Manchester United selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan Tottenham 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Pemain sayap kelahiran Armenia itu memberikan gol pendahuluan buat United selepas 29 minit sebelum mempamerkan aksi-aksi cemerlang sepanjang perlawanan sehingga diusung keluar pada minit ke-85 selepas berlaku pelanggaran dengan pertahanan Spurs, Danny Rose.

United akan berkunjung ke Crystal Palace dan West Brom dalam dua perlawanan berikutnya tetapi Mourinho menjangkakan Mkhitaryan perlu berehat sehingga perlawanan seterusnya di Old Trafford bertemu Sunderland.

"Saya berpendapat dia akan terlepas perlawanan seterusnya tetapi kecederaannya tidak terlalu serius.

"Kami berharap dapat menurunkan Mickey dalam perlawanan bertemu Sunderland."

Jaringan kemenangan Mkhitaryan merupakan gol sulungnya dalam aksi EPL sejak tiba dari Borussia Dortmund dan gol keduanya untuk kelab selepas menewaskan Zorya 2-0 dalam aksi Liga Europa.